Saturday, November 24, 2007

THE GANG












Satu perangai kumpulan empat ini yang disukai dan tak disukai oleh masyarakat Kampung Senama ialah melepaskan angin. Selepas kenyang makan, tiap tiap mereka akan bergilir melepaskan angin mengikut nada irama masing masing.


Pak Ateh Mat Toyo, Pak Lang Salleh, Puk Long Udin Dahan, Pak Ngah Latip Inchon form The Gang, famous in Kampung Senama for always being together. You could not find one without the others not far off. Ini hanyalah semasa mereka berada di Kampung. Setelah masing masing pergi merantau untuk mencari pekerjaan, Gang ini lenyap. Begitu jugalah jadinya pada semangat kekampung yang lain nya. Jadi tak perlu lah dihiraukan lagi kemana pergi nya semangat kekitaan ini di kalangan orang bandar.



KEHIDUPAN KAMPUNG


Kampung Senama terdiri dari empat buah rumah yang terletak dilereng bukit. Dikaki bukit, bahagian baroh, ialah rumah Atok Bador yang menghadapi sawah dan berhalaman besar. Di belakang sedikit bahagian darek (darat)ialah rumah Tok Cu Shamsudin. Dibelakang dan paras tinggi sedikit ialah rumah Mak Long Aton, dan diatas bukit darek sekali ialah rumah Mak Darek atau rumah Haji Hasan Sidong.


Haji Hasan menghidap penyakit resdung, selalu menghembus hidung nya yang tersumbat. Itulah diberi gelaran Sidong. Beliau menjadi pegawai pertanian dan rumah nya lah yang mula mula sekali mempunyai kereta. Kesemua rumah rumah ini tidak berpagar sempadan tanah nya. Semua tanaman seperti rambutan, durian, pisang, ubi, nenas, tebu, keledek, lada, menjadi milik semua. Dan halaman halaman rumah dari baroh ke darek menjadi medan permainan untuk semua. Pinjam meminjam garam, rempah, asam jawa, kelapa, minyak geh (tanah) adalah kelaziman antara rumah ke rumah. Kalau satu rumah membuat bubur kacang atau empuk, semua akan merasa.

Omak sendiri terkenal dengan gulai lemak kuning ikan sembilang dan belimbing besi nya. Kadang kadang dibuboh pisang muda. Tok Ki Somah selalu datang mengayuh basikal nya dari Solomak membawa tin susu Milkmaid kosong untuk membawa balek (take away) gulai lembut yang diminati nya ini. Beliau ada gigi bawah sebatang yang sudah goyah, dan apabila bertutur, beliau suka menggoyang goyangkan gigi ini dengan gigi atas nya. Ikan sembilang ditangguk disawah depan rumah. Lain lain masakan specialty yang ditunggu tunggu ialah sambal lemak tempoyak petai, goreng belalang padi, goreng kulit buah rambai kering, dan jeruk binjai sambal.


RUMAH GADANG


Struktur rumah kampung pada tahun 40an sudah banyak berubah dari bentuk asal Minangkabau. Tanduk atap sudah tidak begitu tinggi lagi.

2. Tangga batu sudah ada. Ini mengikuti budaya rumah Melaka.


1. Dekat tangga depan selalu ada kolam atau tempayan yang menadah air hujan untuk kegunaan membasuh kaki. Tempurung kelapa digunakan untuk menceduk. Pelastik belum ada.


9. Pangkin disediakan sama ada ditangga depan atau tangga tepi rumah untuk pelawat berehat sebentar sebelum di jemput naik kerumah.Pangkin juga untuk duduk duduk berborak dan mencari kutu.

3. Serambi hadapan jarang digunakan. Disinilah Atok selalu duduk di kerusi rotan membaca Utusan Melayu jawi sambil menghisap paip nya, memakai baju perat.

4. Anjung rumah selalu nya memanjang mengikut bentuk Minangkabau asal. Disinilah bacaan doa kenduri diadakan dan selepas itu jamuan makan. Dari laman rumah senang terlihat gambar gambar yang di gantung di dinding anjung ini. Omak punya peti nyanyi (gramophone) diletakkan ditepi tingkap di sini supaya senang di dengar peminat dari laman rumah tanpa perlu naik keatas.


5. Ruang tengah rumah jarang didudukki, hanya sekadar laluan dari serambi ke dapur. Dari ruang tengah ini ada tangga naik ke poran (attic), ruang stor dibawah atap bumbung untuk digunakan apabila hendak menyorok takut kena marah. Disini disimpan segala khazanah lama yang tak terpakai lagi. Sebilah keris misteri telah dijumpai oleh Ateh di sini. Ada tingkap bulat kecil ditepi poran ini untuk ventilasi. Ada juga lubang kecil dibuat dilantai ruang tengah ini untuk anak anak kencing malam.


6. Ini ialah master bedroom, sebuah bilik kecil yang hanya cukup memuatkan katil besi 4 poster dan tilam sabut. Perabot lain ialah almari solek bercermin dimana terdapat celak dan bedak buku dengan gambar nyonya di kotak nya.


7. Dibelakang ruang tengah ialah kawasan utiliti dimana kebanyakkan aktiviti rumah harian diadakan. Makan minum bersela disini atas tikar. Meja dan kerusi makan belum ada. Disinilah pada waktu masuk maghrib anak anak mengumpulkan semua pelita untuk diisi minyak geh dan lampu pam untuk diisi spirit dan dipam gas nya. Disinilah juga Abang Bosa selalu terlantar ketika demam panas, dengan hanya dapat melihat keluar melalui tingkap kepada kawan kawan bermain di laman. Serangan pertama Chicken Pox Abang Bosa di lalui disini.

10/11. Dapur selalu nya diatas tanah, split level kebawah. Jika dapur tinggi, selalu nya ada pelantar ditepinya, untuk membasuh kain dan pinggan periuk, juga tempat kencing dan mandi anak anak. Bilik mandi dan tandas dirumah tidak wujud oleh sebab mandi dan membasuh kain diperigi dan tandasnya ditali air sawah.

Periuk dari tanah liat dinamakan belanga. Aluminium belum ada.Sabut digunakan untuk menyental. Steel wool belum ada. Sabun serbuk belum ada, hanya sabun buku untuk membasuh dan mandi. Jenama waktu itu ialah 'Labour Brand', dijual dalam bentuk sebatang panjang, dan dipotong mengikut keperluan.Dapor dari kayu dan perlu menggunakan corong buluh atau besi untuk meniup api. Asap memang sentiasa banyak didapur dan membersihkan kuali dan periuk dari arang ini adalah suatu kerja berat. Satu cara untuk menghukum anak anak nakal ialah dengan menyuruh mereka membersihkan periuk kuali. Tebal nya arang ini boleh lah di fahamkan dari tindakan Belalang mengikis 'kopi' dari kuali untuk menjamu M. Zain, tetamu Pak Belalang.


Pada waktu pagi atau petang kelihatan lah pancaran matahari menikam ruang dapur melalui lubang lubang dinding dan menyinari asap asap tebal berkepul kepul ini.

Jam tangan atau jam meja belum ada lagi, hanya jam dinding pendulum (grandfather clock) di ruang tengah rumah mentiktok tiktok dan membunyikan bilangan waktu. Seram juga mendengar bunyi nya tengah tengah malam. Jika di ladang, sawah atau diluar rumah kiraan waktu banyak bergantung pada bunyi laluan kereta api. Sesiapa yang mahu mengetahui waktu akan bertanya: "Mel tongah hari dah lalu lun?". Azan waktu dari surau atau mesjid tidak dapat didengar oleh kerana tiada pembesar suara waktu itu.

No comments: