Tuesday, November 27, 2007

BUDAYA BERGAMBAR

Yang ada mempunyai kamera waktu itu ialah Ateh Toyo dan Pok Ngah Latip Inchon. Budaya bergambar menular di kalangan keluarga Kampung Senama oleh sebab novelty kamera itu sendiri.Filem hitam putih, 12 keping satu spool.










KEHIDUPAN ANAK ANAK

Hidup sebagai anak anak sungguh menyeronokkan di kampung. Halaman rumah menjadi gelanggang berbagai jenis permainan.



Satu kesukaan kanak kanak waktu itu ialah menunggu ketibaan lalu askar askar British ini dan mengutip kotak kotak rokok 'Craven A', 'Player's' dan 'Rough Rider' yang dibuang oleh mereka. Apabila sudah disimpan banyak maka kotak kotak ini disusun tegak berderet deret, kemudian dijentik pada satu hujung. Melihat kotak kotak ini jatuh satu satu menolak kotak yang dihadapan dengan kesan domino memberi keseronokkan yang amat memuaskan. Ada banyak variasi pada permainan ini. Perlawanan boleh diadakan untuk deretan yang terpanjang atau terpantas jatuh. Bagaimana mengatasi masaalah menjatuhkan kotak kotak yang di liku liku memang mencabar kemampuan kejuruteraan masing masing waktu itu. Permainan ini boleh juga menjadi punca pergaduhan apabila ada samseng samseng dengki yang tidak mempunyai kotak rokok menjatuhkan kotak kotak ini sebelum habis tersusun. Ini akan mencetuskan gusti dan bertumbuk diatas tanah dan sesiapa yang tak sempat lari akhirnya kena belasah oleh ibu masing masing. Satu lagi kegunaan kotak rokok ini ialah mengambil nombor yang tertulis pada bahagian penutup kotak ini yang bergam. Kemahiran perlu ada untuk menanggalkan bahagian yang bergam ini, kalau tidak habis nombor itu hilang. Nombor nombor ini akan diserahkan pada askar askar British yang lalu lalang disitu dan anak anak ini akan mendapat imbuhan gula gula dan mainan kecil. Gula gula waktu itu ialah gula cicak. Coklat jarang dapat.

Lain lain permainan yang banyak mengambil masa anak anak waktu itu ialah main pangkah getah rubber band, main biji getah, tiup buih sabun, teng teng, main simbang, trompet daun, seruling bamboo, tarik upih pinang, lastik, gasing, layang layang, buaian pokok seperti cerita 'Bawang Putih Bawang Merah' dan senapang buluh. Senapang ini dibuat dari buluh kecil, dan ubat peluru nya boleh dibuat dari biji cermai atau kertas surat khabar basah. Kalau kena biji cermai ni podih boto. Senapang yang lebih canggih (bukan istilah dahulu) juga dibuat dari kayu. Sekeping papan digergaji mengikut corak senapang panjang. Dahulu kalau tangan jari luka luka kena gergaji, tak ado cucuk tetanus doo. Pemetik peluru diikat dengan getah dibahagian pembidik dan peluru kertas keras yang digulung lipat disepitkan dipemetik itu tertarik dengan getah panjang dari mulut senapang itu untuk mendapatkan kekuatan tensile. Pemetik dilepaskan dan peluru akan meluncur dilastikkan oleh recoil getah tadi. Peluru jenis ini lebih sakit bila mengena dari peluru senapang buluh. Gasing dibuat dari kayu batang jambu beweh, dan selepas itu adalah yang bising bertanya siapa kah yang telah memotong batang pokok jambu nya. Buluh juga dibuat busar dan anak panah, dan selalulah benang benang jahit hilang dari bokor jahitan untuk dibuat tali panah nya. Robin Hood memang sudah menjadi hero waktu itu.


Mainan yang lebih membahayakan untuk anak anak kecil hanya di monopoli oleh Abang Abang Besar. Umpamanya lastik. Bila sudah pandai cakap Inggeris baru lah tahu yang "lastik" ini ialah singkatan dari istilah "elastic". Burung yang dilastik akan diikat kaki nya yang patah dan disimpan dalam sangkar buluh atau mata punai yang dibuat sendiri siap dengan pintu yang boleh dibuka katup dan bekas air minum nya. Buluh juga boleh dibuat seruling, dan bunyi nya pun boleh tahan. Semuanya ini ada lah guru nya yang mengajar dari golongan pak cik, pak long, pak lang dan pak ngah. Hidup sebagai anak anak memang seronok waktu itu. Bangun pagi mandi, makan, main, makan, main, mandi, makan dan tidur. Anak anak banyak membantu tugas seharian orang tua. Kebanyakkan yang baya anak anak ketika itu masih belum sekolah lagi. Penyapu di buat daripada lidi daun kelapa. Pelepah kelapa yang jatuh akan dikumpulkan ditempat redup. Kalau tak cukup akan disuruh yang cekap memanjat untuk memotong pelepah baru. Pada masa yang sama selalunya, kesempatan diambil untuk mengambil buah kelapa muda. Daun pelepah akan dipotong dengan pisau, dan lidi yang lalu antara pisau dan jari selalu nya memanaskan jari jari kecil. Ini alasan digunakan anak anak untuk bermain trompet daun pula dan meninggalkan tugas. Trompet dibuat dari daun kelapa yang dibuang semasa membuat lidi. Daun digulung gulung bergelang gelang dan ditarik panjang gulungan nya untuk membentuk trompet dan di ikat pangkal dan hujung dengan sematan lidi. Lidah trompet di buat dari daun juga dan disengkangkan dibahagian peniup trompet itu. Untuk menyapu laman rumah, penyapu akan dipanjangkan tangkainya dengan kayu. Kalau sampah besar besar, penyapu yang dibuat dari ikatan ranting ranting kayu akan digunakan. Pada musim durian berbunga, bunga bunga putih yang jatuh akan memenuhi laman, dan menyapu bunga bunga ini dilakukan dengan penuh antisipasi menunggu gugurnya buah durian. Semasa musim durian gugur, giliran tugas diatur untuk para para penunggu dibangsal bangsal durian di dusun pada waktu malam. Keseronokkan menunggu durian ini pun ditunggu tiap tiap musim dengan penuh antisipasi.



ATOK BADOR

Atok Bador adalah tunjang pesona masyarakat kampung. Beliau guru pelawat dan juga Imam mesjid Kampung Senama di borang (seberang). Segala urusan permasaalahan kampung dan adat istiadat ditujukan kepada beliau. Anak anak kampung yang sudah sampai umur diajar membaca Al Quran oleh beliau, dan penunjuk lidi dan duri landak tajam beliau amat terkenal. Terutama sekali dikalangan mereka mereka yang buta bacaan, contohnya Kak Long Juling....heh!!...heh!!...heh!!...


Dopan tanggo rumah baruh.


Baju perat cop Pagoda ni selalu disidai di kerusi rotan serambi anjung rumah baruh dimano Atuk melepak lopeh makan. Serambi tu memang bau tembakau selalu. Atuk sering tertidur atas kerusi ini menghadap Utusan Melayu jawi.

Mission Impossible 1


Mission Impossible II


Mission Impossible III

No comments: