Saturday, November 24, 2007

MENCARI KAYU

Belum ada dapur gas atau minyak tanah waktu itu. Jadi pagi pagi adalah tugas mengikut omak ke kebun getah berdekatan untuk mengutip kayu. Kesempatan diambil untuk mengutip buah buah getah.
Biji biji nya yang masak diambil untuk mainan biji getah.Selalulah poket poket waktu itu berisi lastik dan biji getah. Satu lagi yang mengisi banyak poket waktu itu ialah pisau lipat. Ini pun di ajar oleh abang abang yang tua. Dan pisau ini akan disangkutkan rantai besi halus yang keluar dari poket poket dan disematkan ke tali pinggang. Ini adalah sebelum zaman pistol mainan di pakai dengan tali pinggang koboi dipinggang.
Kayu yang dikutip di ikat seberkas seberkas dan dijunjung dikepala untuk dibawa pulang. Tapak kaki yang tak berkasut terasa sakit sakit terpijak onak onak duri dan memijak jalan tar yang panas tanpa beralas kaki telah mewujudkan istilah 'berjalan ketenteng ketenteng'.
Kegembiraan sungguh terasa ketika dalam perjalanan pulang akan lalu kereta information yang mengiklankan petang itu ada pertunjukkan 'Band Polis' di Padang pekan Rembau dan di ikuti dengan pertunjukkan wayang gambar. Wah! best nya (bukan istilah dahulu). Dalam sekelip mata sahaja semua gang sudah mengetahui dan perjanjian dibuat untuk pergi bersama.
Pancaragam Polis baru ditubuhkan ketika itu dan sedang menjelajah seluruh Tanah Melayu memberi semangat pada orang ramai supaya tidak takut menentang komunis yang mula membuat kacau waktu baru baru lepas tamat Perang Dunia Kedua itu. Mereka memakai samping biru dan baju putih dan cukup segak dengan songkok. Ada juga yang berserban. Ini bahagian peniup seruling bagpipe yang diambil tugas oleh Benggali Benggali. Ketakutan anak anak pada orang orang Benggali kuat waktu itu. Watak yang menarik perhatian utama ialah pembawa drum besar yang selalunya anggota polis yang berperut buncit. Maka terbitlah istilah 'menonong'.
Lagu 'Sedia Berkhidmat' baru sahaja diperkenalkan, dan untuk anak anak yang hanya pandai mengikut irama, lirik lagunya lebih kurang begini, "Poliiiis sedia berkhidmaaat, yan teking yan teking yan teking!!". He he he!!. Budak budak punya creativity bahasa ketika itu agak lumayan juga. Bulldozer yang lalu lalang di hadapan kampung di namakan 'Gajah Menong', dan steamroller di panggil 'Jakawandi'.
Aspek teknikal pertunjukkan wayang gambar sungguh menakjubkan. Ini zaman 'harimau kurus' Malayan Film Unit, yang menjelajahi negara dengan propaganda komunis dan mencegah penyakit cacing. Filem hitam putih. Dalam pada mulut melopong mengkagumi gambar gambar manusia yang boleh bergerak gerak dan bercakap tanpa kelihatan tuan nya, kepala berpusing memikirkan dari mana datang gambar yang melekat di kain putih itu. Dibelakang dan depan layar tak nampak apa apa. Hanya cahaya sinaran putih yang singgah di layar yang tak tahu datang dari mana. Agaknya dari langit. Tak juga terfikir yang cahaya itu menyuluh dari belakang van information itu.
Sesekali sesekali gambar terhenti oleh sebab filem nya putus. Tapi tak ada orang yang bising. Hanya lampu lampu picit disuluhkan ke layar putih. Semua sabar menunggu gambar dimulakan kembali. Dalam pada tu kacang putih dan kacang kuda terus laris.
UWAN TEPOK

Wan Tepok adalah institusi kekal menjadi simbol di Kampung Senama. Beliau dijangkiti polio dari kecil dan kakinya kecil tepok dan beliau bertungkat kemana mana tak berkasut, oleh sebab club foot nya. Kadang kadang budak nakal akan menyorok kan tungkat nya. Maka bercheridau lah beliau satu kampung menghensot hensot mencari nya.
Sesiapa sahaja yang datang berkunjung akan diajukan pertanyaan, "Nyarih datang diih?"
Inilah pose kelasik nya bersila dilaman menggulung tembakau dalam rokok kertasnya. Selepas digulung tepi kertas akan dibasahkan dengan air liur untuk proses sealing, kemudian dicucuh api. Lighter belum ada lagi. Puntung api atau bara arang lah jawabnya. Mancis seboleh bolehnya di save waktu itu untuk menyalakan dapur sahaja. Sesekali Wan Pok akan begitu gembira sekali kalau ada yang menghulurkan rokok daun kepadanya yang mengikutnya 'tak sodap'. Tetapi kalau ia menerima Craven A atau Rough Rider, itu sudah menang loteri untuk nya. Kalau tak ada benda yang nak dihisap, sireh dan sentil pun sudah cukup.
Nasib baik juga ganja dan morphine atau ecstasy tak ada waktu itu. Tapi jangan cakap jang! Kapur dan gambir pun boleh tahan juga dengan pinang muda ........khhaayyyaaalllll!!!!

HARI RAYA



Puk Long Ayii: "Jaliii! Pogang kuek kuek tali tuuu! Kang tolopeh kang nyanyo yoo ghondang omak ekau!".(Lokasi - Laman rumah Puk Long Ayii dan Mak Long Imaii Solomak, dopan pigi sawah selepas buka puasa malam Raya )


Pengistiharan bermula puasa Ramadhan dan Hari Raya dilakukan oleh kereta Pejabat Penerangan yang memasukki kampung. Pada malam penghujung puasa Ramadhan, kereta penerangan akan lalu di hadapan kampung dengan laungan dari corong speaker diatas atap nya: "Besok Hari Raya....Besok Hari Raya...".


Malam Raya ditunggu penuh debaran dengan dapur tungku tanah outdoors siap sedia dengan kayu dan kuali besar untuk mengacau penganan. Begitu juga buloh lemang siap berdaun dengan beras pulut menunggu pengistiharan Hari Raya.


Seminggu sebelum itu abang abang adik adik sibuk membuat pelita Raya dari buluh. Yang ada kemampuan membeli pelita ayan. Pelita pelita di pacakkan disekeliling lamanrumah masing masing. Maka malam malam penghujung puasa ini berkelip kelipan lah pelita menerangi laman laman rumah dan tak perlu lah membawa obor atau lampu picit dari rumah kerumah seperti lazim nya.


Selesai saja pengistiharan dilakukan, berkeliaran lah anak anak berlari lari kulu kilir (kehulu kehilir) darek baroh memberi tahu semua penduduk mengenai tarikh Hari Raya. Maka rioh rendahlah sampai kepagi Raya tidak tidur membakar lemang dan mengacau penganan. Masa ini lah dapat merasa kan penganan lembut panas sebelum ia mengeras liat lekat di gigi, dan rendang panas yang baru masak. Jikalau hujan malam itu, maka hari esok nya akan diketahuilah apabila merasa lemang mentah.


Seperti biasa, anak anak lah yang paling bergembira berHari Raya. Bukan semua yang akan dapat baju dan kasut baru tiap tiap Raya. Baju dijahit oleh Omak. Duit Raya hanya akan diharapkan dari yang kaya kaya dan tertua saja. Kuih Raya yang lazim ialah kueh bahulu, kueh bangkit, kueh goyang dan semperit. Satu specialty ialah sagun, kueh serbuk tepung yang apa bila berada didalam mulut dan bercakap, akan bertaburan terhambur keluar. Seperti biasa pada pagi Raya, rumah yang tertua sekali didulukan.

No comments: